Thursday, 22 December 2022

BILA LAGI SIDANG PARLIMEN BOLEH BERSOPAN?

oleh
Mohd Puad Zarkashi

Saya pernah menjadi ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Sekarang saya ADUN dan Speaker Dewan  Negeri Johor.

Apabila menyaksikan persidangan parlimen yang baru tamat semalam menjadikan saya rasa malu. Bukan sahaja malu kepada rakyat tetapi malu kepada dunia luar. 

Dulu saya dalam dewan, sekarang saya di luar. Baru saya nampak buruknya gelagat ahli parlimen terjerit jerit sampai keluar perkataan beruk dan kera. 

Saya perlu mengaku, kini saya insaf kerana pernah terlibat dengan sidang yang kecoh seperti itu. Saya ahli Parlimen dari 2008-2013.

Tetapi apakah budaya kecoh perlu berterusan. Rakyat yang tekun mendengar ahli Parlimen berhujah turut terganggu bila yang berhujah diganggu oleh ahli parlimen tidak berdisiplin.

Ada yang mencadangkan supaya parlimen menggunakan budaya Mahkamah bila berhujah. Pendakwa dan peguambela berdebat secara bersopan. Mereka hormat arahan hakim.

Bolehkah itu dibuat? Masalahnya ramai ahli parlimen adalah Peguam dan ada bekas hakim. Tetapi bila masuk parlimen, mereka  lagi kuat menjerit dan tidak patuh arahan Speaker. 

Justeru perlukah standing order parlimen dipinda supaya lebih ketat? Kalau Akta Anti Lompat Parti boleh dibuat maka amat wajar juga Peraturan Tetap Dewan dipinda..

Antaranya tidak lagi dibenarkan pencelahan semasa ahli Dewan sedang bercakap

Mungkin boleh dicontohi Standing Order Perkara 45 (2) Dewan Negeri Johor di mana pencelahan tidak dibenarkan melainkan jika menyalahi peraturan mesyuarat.

Ini membolehkan setiap ahli Dewan dapat berhujah, mengkritik, menegur dan memberi pandangan dengan lancar tanpa gangguan.

No comments:

Post a Comment